Sila log masuk terlebih dahulu.

93.4 peratus kematian di Kedah belum terima dos penggalak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 93.4 peratus atau 142 daripada 152 kematian di Kedah disebabkan Covid-19 adalah kalangan individu yang belum menerima suntikan dos penggalak.

Pengarah Kesihatan negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, data itu diperolehi bermula tempoh 1 Januari hingga Sabtu lalu.

Katanya, daripada keseluruhan 152 kes yang direkodkan, sebanyak 41 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID)

"Oleh itu, kita merayu semua penduduk dewasa, terutama mereka yang berumur 60 tahun ke atas, penerima Sinovac sebagai imunisasi primer dan mereka yang ada komorbiditi seperti obesiti, darah tinggi, diabetes, sakit jantung, paru-paru dan buah pinggang mendapatkan suntikan penggalak dari mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema, sakit tekak dan batuk dinasihatkan segera melakukan saringan kit ujian pantas (RTK) Antigen dan mengikut langkah TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan cari).

"Mereka yang positif Covid-19 dan berumur 60 tahun ke atas atau mempunyai komorbiditi perlu sentiasa memantau gejala seperti dinasihatkan dalam MySejahtera dan segera ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital jika gejala melarat menjadi lebih teruk," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Othman berkata, tahap kesedaran penduduk Kedah untuk mengambil suntikan dos penggalak masih rendah.

"Setakat Sabtu lalu, sebanyak 49 peratus penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas sudah mengambil dos penggalak, manakala sehingga 2 Mac, sebanyak 73.3 peratus penerima Sinovac sudah lengkap dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

"57.1 peratus dalam kalangan warga berusia 60 tahun ke atas layak menerima dos penggalak dan 51.6 peratus dewasa dengan komorbiditi belum terima dos penggalak," katanya.

Katanya, orang ramai diseru untuk segera mendapatkan suntikan dos penggalak untuk melindungi diri.

"Mereka boleh memilih jenis dos penggalak sama ada Pfizer atau Sinovac, walau bagaimanapun Pfizer lebih digalakkan kerana lebih berkesan," katanya.