'Tugas nazir berat, wajar naikkan elaun'

Jeffry dan Mahmud
Jeffry dan Mahmud
A
A
A
SHAH ALAM - Rata-rata nazir masjid di negeri Selangor menyokong penuh sekiranya kerajaan negeri dapat mengkaji semula dan mempertimbangkan untuk menaikkan elaun sedia ada berjumlah RM200.

Nazir Masjid Kampung Johan Setia, Klang, Jeffry Isa berkata, isu elaun nazir ini bukan perkara baharu dan sebelum ini sudah beberapa kali dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibincangkan.

Beliau berkata, nazir ibarat seorang pengurus yang mengendalikan semua perkara berkaitan masjid dan kini peranan dimainkan semakin luas dan bukan setakat di masjid sahaja.

"Konteks kerja nazir kini tidak tertakluk kepada tugas hakiki mengurus masjid tapi turut bertanggungjawab untuk berhubung dengan masyarakat, buat pengesahan nikah kahwin, pengesahan dokumen untuk murid-murid sekolah, berurusan di pejabat agama, pusat zakat termasuk buat tangkapan bagi membantu operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kadang-kadang sampi kena jadi saksi dan pergi ke balai polis.

"Banyak lagi peranan lain yang perlu dijalankan seorang nazir dan tanggungjawab dipikul ini turut memberi risiko besar termasuk dipecat jika gagal dijalankan dengan sebaiknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Jeffry berkata, tidak timbul isu tak ikhlas untuk melaksanakan kerja yang diamanahkan, tapi wajar diambil kira, kadar elaun RM200 itu sepadan atau tidak dengan peranan dimainkan yang turut memerlukan banyak kos tambahan.

Katanya, nazir adalah nadi utama kepada masjid dan elaun diberikan diharapkan munasabah serta setimpal dengan kerja yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Pada sesi perbahasan di Sidang DUN semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula kenaikan elaun nazir masjid di seluruh negeri ini.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar yang mengatakan elaun nazir sebanyak RM200 adalah sangat rendah dan tidak berbaloi dengan kerja-kerja mengurus masjid.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Nazir Masjid Al-Falah, Kampung Jalan Kebun, Mahmud Mastam berkata, elaun sedia ada sebanyak RM200 sangat rendah jika dibandingkan dengan tanggungjawab digalas.

Katanya, ia juga jauh berbeza dengan imam yang mendapat elaun sebanyak RM1,300.

"Jadi ia memang wajar dipertimbangkan dengan mengambil kira tugasan nazir juga memerlukan komitmen ditambah skop tugasan yang tinggi.

"Saya cadangkan semakan kenaikan kadar elaun ini boleh dibuat bukan sahaja untuk nazir tapi juga untuk jawatan-jawatan lain seperti timbalan nazir, setiausaha dan bendahari yang hanya menerima elaun sebanyak RM100," katanya.