DBKL rombak kakitangan, elak amalan rasuah

Khalid ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/ZAHID IZZANI
Khalid ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dirombak selang dua atau tiga tahun bermula 2019 kerana dibimbangi berisiko mengamalkan rasuah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, buat masa ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sedang melaksanakan penstrukturan semula memindahkan kakitangan ke jabatan-jabatan lain.

“Memang kita tak boleh benarkan memegang sesuatu jawatan berterusan untuk tempoh yang lama, mungkin dua atau tiga tahun, kita kena rombak.

“Sekarang ini, Datuk Bandar sedang lakukan penstrukturan semula, pindahkan kakitangan-kakitangan DBKL ke jabatan-jabatan lain, sebab kita dapati sebahagian pegawai-pegawai ini memegang jawatannya bertahun-tahun, perkara ini tak boleh diteruskan,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Khalid turut memberitahu, amalan rasuah dalam DBKL ini lebih menjurus kepada kakitangan-kakitangan peringkat bawahan.

“Kakitangan bawahan ini ramai juga terlibat dengan rasuah, kita boleh tanganinya apabila kita pindahkan mereka daripada satu jawatan ke satu jawatan lain.

“Sebabnya, apabila mereka duduk lama sangat dalam jawatan tertentu. Mereka telah membina hubungan rapat dengan kontraktor, pengusaha kedai-kedai tertentu supaya boleh berikan layanan yang istimewa dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, rombakan ini tidak melibatkan pegawai-pegawai atasan DBKL memandangkan posisi tersebut terhad kepada empat jawatan sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Lazimnya, amalan rasuah dalam DBKL ini melibatkan kakitangan yang berurusan dalam hal perkhidmatan, jadi ia jarang melibatkan pegawai atasan.

“Dalam DBKL cuma ada empat jawatan pengarah eksekutif, jadi kalau nak rombak atau tukar hanya boleh tukar sesama mereka, tak boleh hantar keluar sebab jawatan terhad,” tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Dua hari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 penjawat awam termasuk ketua balai polis, pegawai DBKL, pegawai bomba dan penyelamat kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota.

Dilaporkan, kumpulan suspek itu menerima wang sogokan itu secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan. Wang berkenaan adalah sebagai perlindungan premis mereka tidak diganggu dan dipercayai terdapat perantara yang akan mengambil wang itu daripada pemilik premis berkenaan pada setiap bulan.