Rujuk Dewan Rakyat sebelum buat keputusan: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa merujuk Dewan Rakyat atau undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan sebelum membuat sebarang keputusan termasuk hal pemberian hadiah kepada bekas Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berkata, tindakan kerajaan ‘membelakangkan’ Dewan sebagai institusi penting negara tidak sewajarnya berlaku kerana boleh mendatangkan ancaman kepada penolakan undang-undang dan peraturan.

“Apa yang kita lihat ialah kerajaan mempunyai kuasa yang lebih daripada Perlembagaan. Boleh buat apa sahaja dan tidak perlu pun merujuk kepada Dewan ini. Dalam satu kes ialah berkaitan hadiah kepada bekas-bekas Perdana Menteri," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Dr Mahathir memberitahu, tidak ada undang-undang yang menentukan pemberian hadiah tetapi atas pertimbangan kerajaan, ada yang bersetuju bahawa satu hadiah perlu diberi kepada Perdana Menteri yang bersara sebagai tanda kita menghargai sumbangan mereka kepada negara.

“Bagaimanapun, kita juga tentukan bukanlah hadiah ini terlalu besar sebaliknya kalau kita lihat di pihak swasta mereka juga amalkan pemberian hadiah. Amalan mereka ini biasanya pegawai yang berjasa yang memajukan syarikat akan diberikan hadiah tetapi terhad mungkin kepada sebuah jam tangan Rolex.

“Namun, kita lihat dalam kerajaan apa yang dicadangkan bahkan diberikan kepada bekas Perdana Menteri adalah luar lebih besar daripada jam Rolex, walaupun ini bukanlah amalan dahulu, iaitu hanya sebuah rumah lama, bukannya sehingga RM100 juta seperti hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi sama, bekas Perdana Menteri itu turut mengakui beliau turut ditawarkan sebidang tanah bagi menghargai jasanya tetapi ditolak danmemilih untuk membayar harga tanah yang ditawarkan tersebut.

“Saya juga bekas Perdana Menteri tetapi tidak ambil suatu sen daripada hadiah kepada saya. Mungkin kerana jasa saya itu tidak ada, tidak cukup hendak dapat hadiah,” katanya.

Artikel Berkaitan: