Arsenal pintas United, nyala peluang ke Liga Juara Juara

Odegaard (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bantu Arsenal tewaskan Watford di Vicarage Road pada Ahad.
Odegaard (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bantu Arsenal tewaskan Watford di Vicarage Road pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji aksi pemainnya yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan The Gunners selepas pasukan tersebut menewaskan Watford 3-2 di Vicarage Road pada Ahad.

Malah jurulatih kelahiran Sepanyol itu turut menyifatkan kemenangan tersebut merupakan hasil daripada semangat juang tinggi yang ditunjukkan pasukan kebelakangan ini.

"Saya melihat mereka sanggup berlatih setiap hari dan jelas prestasi mereka bertambah baik.

“Saya rasa pasukan semakin seronok bermain bersama dan apabila ia bukan hari terbaik untuk mereka, mereka tetap berusaha untuk menang dan semangat itu sangat penting ketika ini.

“Ia boleh dilihat dalam perlawanan ini yang mana pasukan semakin baik, persefahaman antara pemain juga bagus dan mereka seharusnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini," kata Arteta.

Pada aksi tersebut, Martin Odegaard berjaya meletakkan The Gunners di hadapan pada minit kelima selepas bijak menyudahkan hantaran lintang pemain sayap, Bukayo Saka.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Watford bangkit dan berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan akrobatik Cucho Hernandez hasil hantaran lintang Kiko Femenia pada minit ke-11.

Selang beberapa minit kemudian, pelawat kembali berada di hadapan menerusi Saka pada minit ke-30 sebelum bintang England terbabit dalam gerakan gol ketiga yang disudahkan Gabriel Martinelli pada awal babak kedua.

Artikel Berkaitan:

Tonggak tengah Watford, Moussa Sissoko berjaya merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan namun ia seolah sudah terlambat buat Watford untuk mengutip mata pada perlawanan itu.

Kemenangan tersebut menyaksikan Arsenal berjaya memintas Manchester United di kedudukan keempat dengan kelebihan satu mata.