Rangnick akui laluan United kian sukar

Pemain Manchester United kelihatan kecewa dengan kekalahan 1-4 kepada Manchester City pada Isnin. - Foto Getty Images
Pemain Manchester United kelihatan kecewa dengan kekalahan 1-4 kepada Manchester City pada Isnin. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ralf Rangnick mengakui kekalahan 1-4 kepada Manchester City di Etihad pada Isnin menjadikan laluan skuad kendaliannya itu semakin sukar bagi mencabar takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut Rangnick, kekalahan berkenaan sekali gus menggambarkan bahawa perjalanan skuad The Red Devils itu agak jauh bagi mencabar takhta EPL kali ini.

Malah katanya, United dilihat berdepan kesukaran berdepan City di sepanjang perlawanan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, ia merupakan perlawanan yang sukar; apatah lagi berdepan dengan salah satu kelab terbaik di dunia ketika ini.

“Walaupun kami berjaya menghasilkan beberapa percubaan dan menjaringkan satu gol pada babak pertama tetapi kami tetap dibolosi selepas itu.

“Secara keseluruhannya, gol ketiga City nyata menjadi ‘pemusnah’ buat kami hingga menyaksikan pintu gol kami dibocori lagi pada minit akhir perlawanan,” katanya setelah menyaksikan skuad kendaliannya itu tumpas 1-4 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), itu pada Isnin.

Pada perlawanan berkenaan Kevin De Bruyne membuka jaringan buat The Citizens pada minit ke-5 sebelum bintang muda United, Jadon Sancho menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

De Bruyne kemudiannya sekali lagi meletakkan City di depan pada minit ke-28 sebelum Riyad Mahrez meledak dua gol pada minit ke-68 dan 90 bagi melengkapkan kemenangan.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan itu menyaksikan United terus berada pada kedudukan kelima EPL dengan 47 mata berbanding City yang terus gah di puncak dengan 69 mata.

Mengulas lanjut, Rangnick berkata, di sebalik kekalahan berkenaan, dia akan tetap berusaha untuk memastikan skuad The Red Devils itu mampu menamatkan saingan musim ini dalam kelompok empat pasukan teratas EPL.

Katanya, biarpun usaha berkenaan dilihat agak sukar, namun dia akan cuba merealisasikannya sebaik mungkin bagi memastikan United dapat beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami sedar, laluan kami agak sukar, tetapi kami akan cuba memberikan yang terbaik dan memastikan kami tidak keciciran mata lagi selepas ini,” katanya.