Aksi cemerlang pemain faktor kemenangan City

Pemain Manchester City meraikan kemenangan 4-1 ke atas Manchester United pada Isnin. - Foto Sports Illustrated
Pemain Manchester City meraikan kemenangan 4-1 ke atas Manchester United pada Isnin. - Foto Sports Illustrated
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui aksi cemerlang dipersembahkan skuad kendaliannya pada separuh masa kedua menjadi faktor yang menyumbang kepada kemenangan 4-1 ke atas seteru setempat, Manchester United di Etihad pada Isnin.

Menurut Guardiola, pemain-pemain City dilihat mempamerkan aksi bertenaga pada separuh masa kedua menerusi asakan bertali arus ke gawang United.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan, pemain City beraksi cemerlang pada separuh masa kedua, dan mungkin aksi yang terbaik yang pernah saya saksikan setakat ini.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah benteng pertahanan kami turut beraksi cemerlang ketika itu bagi mengekang asakan United.

“Apa pun yang penting, kami meraih tiga mata penting yang sekali gus semakin melebarkan kedudukan kami di puncak EPL ketika ini,” katanya.

Perlawanan berkenaan menyaksikan City membuka jaringan hasil jaringan Kevin De Bruyne pada minit kelima sebelum Jadon Sancho mejaringkan gol penyamaan buat United.

Bagaimanapun, De Bruyne sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-28 sebelum Riyad Mahred menyumbat dua lagi gol pada minit ke-68 dan minit ke-90 bagi mengesahkan kemenangan City.

Sementara itu, Guardiola yakin City dapat meneruskan momentum kemenangan berkenaan bagi terus melebarkan penguasaan di puncak EPL kali ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun masih banyak perlawanan yang perlu diharungi City bagi menamatkan saingan musim ini, namun dia tetap percaya skuad The Citizens itu mampu meneruskan kecemerlangan sehingga ke penghujung musim.

“Berdasarkan persembahan yang dipamerkan, saya yakin kelab ini dapat meneruskan penguasaan dalam carta EPL sehingga ke penghujungnya,” katanya.