KPM perlu strategi jangka panjang selesai isu beg sekolah berat

Mohd Radzi pada Ahad mengumumkan KPM akan menyediakan kemudahan lokar di sekolah-sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu beg pelajar berat. (Gambar kecil: Mohd Azizee)
Mohd Radzi pada Ahad mengumumkan KPM akan menyediakan kemudahan lokar di sekolah-sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu beg pelajar berat. (Gambar kecil: Mohd Azizee)
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpendapat tujuh strategi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu beg sekolah berat hanyalah bersifat penyelesaian jangka pendek.

Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan berkata, isu yang lebih utama dan perlu diberikan fokus ialah merencana semula kurikulum pendidikan negara sesuai dengan perkembangan semasa.

"Ini kerana bilangan subjek yang banyak serta kandungan yang padat dan tinggi terutama di tahap satu turut menyumbang kepada isu beg berat.

"KPM digesa memanfaatkan kepakaran pakar- pakar pendidikan negara serta mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk merencana model baharu pendidikan beracuankan kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, keperluan usaha ke arah perkara tersebut amat penting demi membina kurikulum pendidikan negara yang lestari dan mampan serta mampu mendepani cabaran pendidikan sejagat.

Bagaimanapun katanya, i-Guru tetap menyambut baik dan berterima kasih kepada KPM atas keprihatinan menangani isu beban beg sekolah dan menyokong semua saranan strategi itu.

"iGuru juga melihat tujuh strategi yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan adalah manifestasi kejayaan semua pihak khususnya ibu bapa, pakar pendidikan, kesatuan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan dan warga pendidik dalam menyuarakan isu itu.

"Ia juga menjustifikasikan bahawa pihak KPM perlu mendengar suara nurani pelbagai pihak serta segera melakukan tindakan proaktif demi kelestarian sistem pendidikan,"katanya.

Artikel Berkaitan: