Kedai telefon bimbit jadi stor simpan dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik kedai telefon bimbit menerusi penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu di premis berkenaan di kawasan Larkin di sini pada 3 Mac lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, selain penahanan lelaki berusia 31 dan 34 tahun itu, pihaknya turut merampas sebanyak 1,708 gram (g) pil ekstasi, 1,351g serbuk ekstasi, 1,197g ketamin 7,041g pil erimin 5 di dalam premis berkenaan bernilai RM746,890.

"Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak November tahun lepas ini dipercayai menjadikan kedai telefon bimbit sebagai stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan.

"Kita sedang siasat daripada mana bekalan dadah ini diperoleh,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua individu itu terbabit dengan kes dadah dan jenayah, bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing kedua-duanya adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.

Kamarul Zaman pada masa sama berkata, pihaknya akan mengesan individu-individu lain, yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu direman selama enam hari bermula 4 Mac mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kes sindiket penipuan, beliau berkata, sejak Januari tahun ini, pihaknya telah menerima sebanyak 631 kes di negeri ini yang melibatkan 579 mangsa, dengan kerugian sebanyak RM120 juta.

Beliau berkata, kes penipuan berkenaan antaranya melibatkan pinjaman tidak wujud dengan kerugian sebanyak RM1 juta dan Macau Scam sebanyak RM5.1 juta.

"Saya ingin nasihat, buatlah pinjaman dengan institusi-institusi yang berdaftar, jangan mudah tertipu terutamanya menerusi laman media sosial. Manakala jika ada urusan dengan mana-mana pihak jangan menerusi telefon terus ke pejabat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: