Operasi kekang pusat hiburan ingkar SOP PPN

Datuk Aidi Ismail
Datuk Aidi Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuhkan pelaksanaan tindakan menerusi Operasi Bersepadu antara jabatan bagi mengekang aktiviti pusat hiburan yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan bersepadu dilaksanakan membabitkan elemen JPJKK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

"JPJKK akan mengkoordinasi tindakan daripada jabatan lain supaya lebih berkesan khususnya ke atas premis pusat hiburan yang melakukan kesalahan membabitkan SOP.

"Selain pemilik pusat hiburan, pengunjung turut dikenakan tindakan termasuk perlu menjalani ujian urin untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan pemilik pusat hiburan supaya patuh SOP PPN serta syarat lesen yang diberikan kerana mereka yang berdegil akan disyorkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pembatalan lesen.

"Ketika kes Covid-19 sedang meningkat, semua pihak dan individu perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko penyebaran virus terbabit," ujarnya.

Pada Ahad, Polis Petaling Jaya mengeluarkan kompaun berjumlah RM24,000 kepada 23 pengunjung dan seorang penjaga sebuah pusat karaoke di sini kerana melanggar SOP PPN Fasa Empat.

Sementara itu, pada Sabtu di ibu negara, kompaun RM121,000 dikenakan kepada 121 pengunjung pusat hiburan di Cheras Business Centre, Kuala Lumpur juga atas kesalahan yang sama.

Artikel Berkaitan: