Rakyat masih menyenangi Muafakat Nasional: Annuar

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

MUAR - Ramai rakyat Malaysia masih menyenangi Muafakat Nasional (MN) di atas dasar kerjasama dan penyatuan yang dibawa oleh kerjasama politik tersebut, kata Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, masyarakat Melayu dan orang Islam khususnya berasa senang hati apabila melihat pemimpin bermuafakat sesama mereka serta bersederhana dalam politik.

"Ramai suka dengan MN ini, itu jangan kita nafikan... bila tengok pemimpin bersederhana, bermuafakat jadi di bawah itu (penyokong) lebih ramai.

"Kalau kita melampau-lampau, nanti orang benci sebab itu hati rakyat kita kena baca,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Malaysia Zon Utara Johor di sini pada Ahad.

Annuar ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua hari lepas yang mengatakan bahawa kerjasama politik antara parti itu dan Pas "biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”

Sehubungan itu, bekas Setiausaha Agung MN itu berkata, beliau mengambil sikap terbuka dengan menunggu keputusan rasmi daripada UMNO, di samping menghormati pandangan yang diberikan oleh individu mengenai status gagasan itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sebanyak 1,674 Komuniti Keluarga Malaysia telah ditubuhkan sehingga 17 Februari lepas.

Beliau berkata, sebanyak 168 Komuniti Keluarga Malaysia telah ditubuhkan di Johor, melibatkan kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Kerajaan amat berharap melalui penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia, dapat memperkasa keupayaan serta daya saing komuniti setempat dalam bidang sosio-ekonomi sejajar dengan perkembangan ekonomi digital,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: