Rakyat Malaysia di Rusia boleh hubungi kedutaan di Moscow

Pelajar Malaysia di Rusia yang menghadapi masalah transaksi perbankan dan kewangan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Moscow.
Pelajar Malaysia di Rusia yang menghadapi masalah transaksi perbankan dan kewangan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Moscow.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar Malaysia di Rusia yang menghadapi masalah transaksi perbankan dan kewangan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Moscow.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad, terdapat masalah dilaporkan berkaitan perbankan dan transaksi kewangan dari Malaysia ke beberapa akaun bank pelajar di Rusia berikutan gangguan perkhidmatan Pemindahan Dana Elektronik (EFT).

Dilaporkan gangguan itu adalah disebabkan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia berhubung konflik Rusia-Ukraine.

"Pelajar Malaysia yang masih menghadapi gangguan EFT atau memerlukan bantuan konsular perlu menghubungi kedutaan melalui e-mel khusus kbm.moscow@yandex.ru dan talian hotline (+79067461333/ +79651222746/ +79035666101/ +79035048666).

"Kementerian juga menasihatkan semua rakyat Malaysia di Rusia yang masih belum mendaftar dengan kedutaan untuk berdaftar secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Buat masa ini, terdapat 861 rakyat Malaysia di Rusia, terdiri 784 pelajar dan 33 ekspatriat. Kedutaan mempunyai 44 petugas terdiri kakitangan diplomatik dan teknikal serta tanggungan mereka.

Sementara itu, mengenai klip video berdurasi 45 saat yang didakwa disiarkan sekumpulan pelajar Malaysia yang terperangkap di satu kawasan di Ukraine, kementerian memaklumkan siasatan yang dilakukan setakat ini mendapati video itu bukan milik kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, mana-mana warga Malaysia yang masih berada di Ukraine dan memerlukan bantuan konsular perlu menghubungi Kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland melalui e-mel Kedutaan mwwarsaw@kln.gov.my dan talian hotline +48223759930/ +48226174413 dan talian 24 jam +48660627360.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian akan terus memantau perkembangan terkini dan berhubung rapat dengan rakyat Malaysia yang berdaftar bagi memastikan kesejahteraan rakyat kita dijaga dengan baik,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra juga boleh dihubungi untuk bantuan konsular melalui e-mel (bkrm@kln.gov.my, dan dutyofficer@kln.gov.my) dan/atau nombor telefon (+603 8887 4530/ (+603 8887 4676) semasa waktu pejabat dan (+603 8887 4570) selepas waktu pejabat. - Bernama