Lelaki nyaris maut kereta dipandu terbabas, terbakar

Rakaman kemalangan yang tular membabitkan sebuah kereta yang terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya SILK, Kajang pada Ahad.
Rakaman kemalangan yang tular membabitkan sebuah kereta yang terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya SILK, Kajang pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Kajang (SILK), di sini pada awal pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit pada jam 1.30 pagi selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Semenyih selepas pulang daripada makan malam bersama rakan di Sungai Chua, Kajang.

"Apabila tiba di Kilometer 20 Lebuh Raya SILK, mangsa dikatakan mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah kanan menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar penghadang jalan dan hilang kawalan lalu bergesel di tembok simen sehingga menyebabkan kebakaran.

"Pemandu kereta yang cedera itu kemudian telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada mangsa sendiri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sampel darah mangsa juga akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan alkohol serta dadah.

Justeru, polis menyeru kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis berdekatan di daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan," katanya.