Sila log masuk terlebih dahulu.

MGB Berhad labur RM680 juta dalam KTIP

Dari Kanan: Burhanuddin Hilmi, Hendri Dahlan, Ahmad Samsuri, Joey Lim dan Lit Chek ketika melancarkan projek berkenaan pada Ahad.
Dari Kanan: Burhanuddin Hilmi, Hendri Dahlan, Ahmad Samsuri, Joey Lim dan Lit Chek ketika melancarkan projek berkenaan pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Anak syarikat LBS Bina Group Berhad, MGB Berhad (MGB) melaburkan kira-kira RM680 juta bagi membangunkan projek berkeluasan 407 hektar di Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP).

Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Joey Lim Hock Guan berkata, MGB melalui anak syarikat milik sepenuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd (MGBCE) menandatangani perjanjian pembinaan secara keseluruhan dengan Retro Court Sdn Bhd bagi pembangunan Projek Kertih pada September tahun lalu.

"Projek Kertih adalah sebahagian daripada KTIP yang akan menjadi kompleks kilang penapisan bio generasi kedua terbesar di Asia.

"Selaku kontraktor keseluruhan, MGBCE akan melaksanakan keseluruhan reka bentuk, pembiayaan, pembinaan dan penyelesaian, penjualan serta pemasaran disamping pengurusan kredit Projek Kertih dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek ini kira-kira RM680 juta, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek berkenaan disini, pada Ahad.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi [email protected]; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek serta Pengarah Retro Court Sdn Bhd, Datuk Hendri Dahlan.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata, Terengganu Inc melalui TI Properties Sdn Bhd yang juga anak syarikat kumpulannya telah memeterai perjanjian bagi melaksanakan projek itu bersama Retro Court Sdn Bhd pada tahun 2021.

Beliau berkata, projek kerjasama antara Terengganu Inc serta anak syarikat kumpulan, TI Properties bersama MGB Berhad diyakini bakal mengubah landskap serta sosioekonomi penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi strategik KTIP berada di dalam hab bioekonomi bersepadu membabitkan industri bio-polimer dan produk kimia yang berasaskan bio. Ini memberi akses kepada infrastruktur dan fasiliti sedia ada seperti loji pemprosesan gas dan loji penapisan minyak.

"KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Pelabuhan Kemaman dan Kertih termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan bandar-bandar utama di Pantai Timur.

"Ia juga dapat menambah baik kesalinghubungan ke Pantai Barat melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor," katanya.

KTIP yang berada di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur diakses secara strategik dengan infrastruktur dan fasiliti sedia ada seperti loji pemprosesan gas, loji penapisan minyak dan pelabuhan.

Ketika ini, pelabur sedia ada di KTIP termasuk Arkema Thiochemicals Sdn Bhd. dan CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd manakala syarikat biokimia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Gevo sedang membina loji bernilai kira-kira RM2.1 bilion.