Perdana Menteri bantu polis pengiring terbabit kemalangan

Ismail Sabri bertanyakan keadaan anggota polis pengiring yang terbabit kemalangan di Benut, Pontian.
Ismail Sabri bertanyakan keadaan anggota polis pengiring yang terbabit kemalangan di Benut, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Dua polis pengiring bermotosikal rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terlibat kemalangan di Pekan Benut pagi Ahad.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu ketika Ismail Sabri dalam perjalanan ke program Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Komplek Muafakat Sungai Pinggan, Benut.

Sebaik berlaku insiden itu, beliau turun dari kenderaan rasminya bagi memeriksa kecederaan yang dialami polis pengiring berkenaan.

Selepas memastikan keadaan polis pengiring yang menerima rawatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membimbangkan, beliau meneruskan perjalanan ke majlis tersebut.

Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke negeri ini sejak Jumaat lalu dengan melancarkan Penyerahan Surat Tawaran Residensi Larkin, di Jalan Datin Halimah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan dua anggota polis pengiring Perdana Menteri terbabit dalam kemalangan kecil pagi Ahad.

"Kedua-dua juruiring Perdana Menteri itu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kemalangan itu membabitkan dua juruiring Perdana Menteri ketika mengiringi Datuk Seri Ismail Sabri ke program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila sampai di lampu isyarat di Pekan Benut, seorang daripada pengiring polis telah berhenti untuk memastikan kenderaan lain memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri.

"Namun sebuah lagi motosikal polis pengiring yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak polis pengiring pertama itu lalu terlanggar kotak belakang motosikalnya sekali gus anggota itu terjatuh dan alami luka kecil, sakit di seluruh badan," ujarnya.

Tambahnya, anggota polis dihantar ke Klinik Kesihatan Benut untuk rawatan kerana mengadu sakit pinggang manakala polis pengiring pertama hanya mengalami sakit kaki kiri.