Klopp akui tuah bantu kemenangan Liverpool

Jaringan Mane (kanan), kukuhkan kedudukan Liverpool di tangga kedua EPL. - Foto AFP
Jaringan Mane (kanan), kukuhkan kedudukan Liverpool di tangga kedua EPL. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui ‘tuah’ nyata menyebelahi skuad kendaliannya itu untuk mencatatkan kemenangan 1-0 ketika ketika berdepan West Ham di Anfield pada Ahad.

Bagaimanapun menurut Klopp, The Reds telah dipaksa bekerja keras di sepanjang perlawanan mengekang asakan The Hammers.

“Saya tak tahu sama ada kami akan mengingati perlawanan ini sebagai antara perlawanan paling penting buat kami.

“Secara keseluruhannya, kami telah beraksi baik pada separuh masa pertama kerana kami tahu di mana kekuatan lawan dan berjaya mengekang asakan mereka.

“Bagaimanapun, kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol, tetapi itu tidak terjadi dan menyebabkan perlawanan menjadi lebih terbuka hingga menyaksikan penyerang West Ham, Jarrod Bowen berpeluang menjaringkan gol penyamaan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, gol tunggal jaringan Sadio Mane pada minit ke-27 sudah cukup memadai buat The Reds meraih tiga mata dan sekali gus semakin merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Untuk rekod, skuad The Reds kini berada pada kedudukan kedua dengan 63 mata berbanding City yang gah di puncak dengan 66 mata.

Sementara itu, Klopp mengakui lega dengan keputusan perlawanan berkenaan yang dilihat menepati sasaran yang ditetapkannya iaitu untuk memenangi kesemua 11 baki perlawanan dalam saingan EPL musim ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, skuad The Reds itu dilihat mampu melakukan yang lebih baik selepas ini.

“Kita perlu memastikan kemenangan pada baki 11 perlawanan EPL nanti selain memastikan kita tidak keciciran mata.

“Dalam masa sama kita juga perlu meraih mata kemenangan pada saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA,” katanya.