Kereta nasional ketiga: Dua syarikat disenarai pendek

MOHD REDZUAN
MOHD REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu, pemilihan syarikat menerajui projek pengeluaran kereta nasional ketiga berada pada peringkat akhir.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak dua buah syarikat yang berpotensi sudah disenarai pendek bagi membangunkan projek kereta nasional berkenaan.

"Kini kita dalam peringkat akhir meneliti pelbagai aspek dan pemilihan akan dimuktamadkan selepas menyelesaikan beberapa perkara.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek kereta ketiga untuk pelajari teknologi kejuruteraan automotif

"Diharapkan, menerusi projek ini secara tidak langsung ia dapat membangunkan bidang keusahawanan negara dalam sektor kejuruteraan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi (MED) 2019 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Ditanya mengenai latar belakang dua syarikat yang disenarai pendek tersebut, beliau hanya memberi gambaran ringkas.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang kita sedia maklum, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengamalkan dasar pandang ke Timur," jelasnya.

Pada Jun tahun lalu, Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang tidak dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.