X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Haiqal tak layak ke Sukan SEA

Imbas. Haiqal meraikan kejayaannya meraih emas acara 100m pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
A
A

DUA jaguh pecut negara - Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan menerima tamparan hebat apabila gagal melepasi had kelayakan untuk ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam.

Biarpun menjuarai acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-97 di Stadium Mini Majlis Sukan Malaysia, Bukit Jalil pada Sabtu, ia masih tidak cukup buat Haiqal untuk melayakkan diri ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.

Haiqal, 23, yang menjuarai acara 100 m pada Sukan SEA Filipina 2019 berlari di atas permukaan trek basah akibat cuaca hujan dan melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat (s), namun gagal melepasi had kelayakan untuk ke temasya di Vietnam iaitu 10.52s.

Atlet yang mewakili Negeri Sembilan itu bagaimanapun bersikap positif apabila mengakui tidak kecewa dengan kegagalannya hari ini kerana telah merasai pengalaman memenangi emas semasa di Filipina.

Haiqal juga tidak mengharapkan bantuan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) jika mahu menghantarnya bertanding dalam acara riben biru di Vietnam atas kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat), namun bersedia untuk dipanggil menyertai kuartet 4x100m lelaki.

"Jika KOM nak hantar saya (bagi acara 100m) saya akan fokus, seandainya tiada rezeki saya ke Sukan SEA, saya akan tumpu latihan hadapi kejohanan lain,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Haiqal tetap berpuas hati dengan lariannya apabila berjaya menepati sasaran untuk mencatat masa 10.4s hingga 10.59s dalam kejohanan kali ini.

Pingat perak acara 100m lelaki kejohanan itu dimenangi pelari Johor, Muhammad Arsyad Md Saat dengan 10.63s manakala Jonathan Nyepa dari Angkatan Tentera Malaysia meraih gangsa catatan masa 10.64s.

Juara Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz yang beraksi untuk Melaka turut gagal ke Hanoi selepas menamatkan larian di tangga kelima dengan catatan masa 10.74s.

Selain Muhammad Arsyad, dua lagi pelari pecut acara 100m - Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail layak bertanding ke Sukan SEA Hanoi bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!