PN ikrar bakal ubah landskap pemerintahan berintegriti di Johor

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) berikrar akan mengubah landskap pentadbiran Negeri Johor yang berintegriti dan bebas rasuah sekiranya diberi mandat sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu kali ini.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ikrar itu adalah janji pertama PN kepada Bangsa Johor dan ia penting dalam pembangunan ekonomi di negeri berkenaan.

"Itu tujuan pertama PN membentuk sebuah kerajaan, iaitu kerajaan yang berintegriti dan bersih rasuah. Perkara ini sekali gus dapat menarik keyakinan pelabur asing, meningkatkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

"Saya percaya landskap pemerintahan ini dapat mengangkat Johor sebagai negeri utama penyumbang ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di Program Santai Anak Muda di sini pada Sabtu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, prestasi perdagangan serta pelaburan negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan semasa pemerintahan PN pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN.

Justeru, beliau berkata, perkara itu menjadi ‘kad laporan cemerlang’ bagi PN disokong untuk menjadi kerajaan oleh rakyat Johor pada PRN kali ini.

"Maka atas rekod ini, masyarakat Johor wajar memberi peluang kepada PN untuk mentadbir Negeri Johor,” katanya.

PN yang melibatkan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan bertanding di semua 56 kerusi pada PRN Johor kali ini.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac.- Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my