Kemenangan BN akan pastikan kestabilan politik, kemasukan pelabur

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

MERSING - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini akan memastikan kestabilan politik, seterusnya memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di Johor dan Malaysia, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, rakyat negeri selatan tanah air itu perlu sedar bahawa kestabilan politik amat penting dalam usaha menarik pelabur untuk menanam modal di negeri tersebut.

"Di Johor rakyat sedar tentang perlunya kestabilan politik. Selama 63 tahun BN memerintah, walaupun kita ada isu tidak bersetuju tetapi semua diselesaikan dalam bilik bukan luar bilik, macam mana ada kekurangan pun, kami sentiasa bersama dengan sikap toleransi yang tinggi, sikap penerimaan yang tinggi.

"Jika kami (BN) berjaya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ekonomi akan pulih, yang mana kita lihat dalam tempoh setahun lebih, tiada kestabilan politik dan pelaburan asing didapati telah berkurangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Mersing pada Sabtu.

Karnival yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Saravanan juga berharap karnival itu dapat menangani isu pengangguran dengan lebih berstruktur dan menyeluruh dalam menyediakan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my