Sistem penggiliran murid Tahun Tiga hingga Lima

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan murid Tahun Tiga hingga Lima akan meneruskan sistem penggiliran apabila sesi persekolahan penggal satu bermula pada 21 Mac depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bagaimanapun berkata, ia hanya akan terpakai untuk sekolah dengan jumlah enrolmen 600 murid termasuk institusi ekspatriat dan antarabangsa.

“Bagi murid Tahun Tiga hingga Lima, mereka akan hadir secara penggiliran manakala bagi murid sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara turut diguna pakai,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Mohd Radzi turut memaklumkan, bagi murid yang hadir ke sekolah tanpa penggiliran pula ialah murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam.

Tambah beliau, kesemua murid di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

“Mereka akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran terutama bagi sekolah yang mempunyai jumlah melebihi 600 orang.

“Sekolah rendah swasta termasuk ekspatriat dan antarabangsa yang turut mempunyai jumlah murid melebihi 600 orang boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: