MSC kini sah ahli gabungan ASTAF

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia (MSC) telah disahkan sebagai ahli rasmi baharu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Perkara itu disahkan oleh Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader yang turut berkongsi sijil keahlian kepada Bernama yang ditandatanganinya bersama Setiausaha Agung ASTAF Boonchai Lorhpipat, pada Sabtu.

"Ini mengesahkan bahawa Konfederasi Sepak Takraw Malaysia adalah ahli penuh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi tahun 2022 selaras dengan Perlembagaan ASTAF.

"Keahlian ASTAF akan diperbaharui secara automatik setelah menerima yuran keahlian tahunan, dengan syarat ahli mematuhi kewajipan yang dinyatakan dalam Perlembagaan ASTAF,” menurut sijil tersebut.

Khamis lepas, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.

Perkembangan itu disahkan Abdul Halim pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Eksekutif badan induk sepak takraw Asia itu, yang berlangsung secara dalam talian pada 2 Mac, selepas pihaknya menerima salinan surat sokongan daripada dua entiti itu.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021 susulan tindakan Presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari tahun lepas.

Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun tahun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.

Artikel Berkaitan:

Namun ASTAF baru-baru ini mengesahkan ia tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan ISTAF, sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa. - Bernama