5,848 pesakit dirawat sejak 8 Mac

Dzulkefly melihat proses mencuci gigi semasa melawat pameran sempena sambutan Hari Pergigian Kesihatan Sedunia 2019 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dzulkefly melihat proses mencuci gigi semasa melawat pameran sempena sambutan Hari Pergigian Kesihatan Sedunia 2019 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - "Sebanyak 5,848 pesakit dirawat bagi kes pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor sejak 8 Mac," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Daripada jumlah itu, katanya 951 pesakit dimasukkan ke wad sementara 25 mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019, Dzulkefly berkata kementeriannya telah menggerakkan sebanyak 762 kakitangan sejak 8 Mac lepas bagi mengendalikan kejadian berkenaan.

"Saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana tiada kematian dalam kejadian berkenaan. Keputusan tidak diisytiharkan darurat juga adalah wajar dan tepat.

“Rakyat mahu penjenayah yang membuang sisa toksik di sungai itu diambil tindakan serta diheret ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana yang dibuka di Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), yang sepatutnya ditutup jam 12 tengah hari ini, telah ditutup pada 9 pagi sebagai menandakan tamat peristiwa keracunan kimia.

Dzulkefly turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, agensi kerajaan dan warga Kementerian Kesihatan.

Insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lepas, dan menjejaskan kesihatan kira-kira 3,000 orang penduduk sekitar termasuk para pelajar, yang terpaksa dirawat manakala 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup. - Bernama

Artikel Berkaitan: