Klopp tetap tinggalkan Anfield 2024

Klopp - Foto skysports
Klopp - Foto skysports
A
A
A

BIARPUN meniti musim gemilang bersama Liverpool sejak kebelakangan ini, namun Jurgen Klopp bertegas untuk meninggalkan skuad kendaliannya itu apabila kontraknya berakhir pada 2024.

Menurut Klopp, beliau sememangnya berhasrat untuk ‘meninggalkan’ bidang pengurusan kerana sudah memiliki perancangan yang tersendiri bersama keluarga kelak.

“Pelan saya ketika ini adalah untuk meninggalkan Anfield pada 2024. Terima kasih kepada semua atas semua kenangan indah di sini.

“Bila saya bercakap mengenai ‘pelan’ saya ini, saya bercakap mengenai kelab ini secara keseluruhannya.

“Apa pun, buat masa ini saya masih bertenaga dan diharapkan keadaan seperti ini berterusan, tetapi semua ini pasti akan ‘merosot’ juga nanti dan jika saya masih memilikinya (tenaga), sudah pasti saya akan teruskan tugas selaku pengurus pasukan bola sepak,” katanya.

Untuk rekod, sejak mengemudi Liverpool mulai 2015 lalu, Klopp telah membantu The Reds mengecap kejayaan dengan meraih hampir semua trofi melibatkan Piala Liga Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA, Piala Kelab Dunia, trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kini Klopp berpeluang mengemudi Liverpool memenangi Piala FA buat kali pertama selain berpeluang cerah untuk memenangi Liga Juara-Juara, EPL setelah muncul juara Piala Liga dan sekali gus melakar sejarah memenangi empat trofi sekali gus dalam semusim ini.

Sementara itu, Klopp percaya setelah ‘pemergiannya’ kelak, Liverpool akan terus berjaya berdasarkan kepada struktur pelan jangka panjang kelab berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan struktur pelan berkenaan, The Reds dilihat tidak berdepan masalah untuk terus cemerlang dalam saingan EPL dan juga dalam saingan di peringkat Eropah.

“Bagi saya, struktur pelan ini adalah untuk pelan jangka panjang kelab ini yang dilihat sentiasa bekerja keras selain memastikan peningkatan prestasi pemain secara berterusan.

“Secara keseluruhannya, kita perlu melakukan perkara yang betul dengan meletakkan pemain yang betul di posisi yang tepat bagi melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik,” katanya.