Lebih 970,000 kanak-kanak di Malaysia terima vaksin Covid-19

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 974,355 individu atau 27.4 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam (Jumaat).

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 14,943,712 individu atau 63.5 peratus populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,953,291 atau 97.6 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,232,845 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,803,567 individu atau 90.1 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,900,616 atau 93.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 81,724 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 23,129 suntikan dos pertama, 1,516 suntikan dos lengkap dan 57,079 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 67,600,736 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 78 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Sabah mencatatkan 15 kes, diikuti Kedah (12), Johor (11), Selangor (10), Pulau Pinang (lapan), Perak (enam), Pahang (empat) dan Terengganu (tiga).

Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing melaporkan dua kes manakala satu kes masing-masing di Kelantan, Melaka dan Perlis. - Bernama

Artikel Berkaitan: