Beli pil kuda, percuma syabu

Roslan (tengah) dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad menunjukkan dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
Roslan (tengah) dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad menunjukkan dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
A
A
A

KOTA BHARU - Promosi 200 butir pil kuda berharga RM3,000, percuma 1 gram (g) syabu bernilai RM200.

Itu modus operandi terbaharu dilakukan tokan dadah bertujuan melebarkan rangkaian perniagaan mereka.

Taktik pertama kali itu bagaimanapun berjaya dipatahkan polis Kelantan sejurus penahanan dua lelaki tempatan bersama dadah bernilai RM189,000 di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad berkata, hasil risikan, peniaga dan pengawal keselamatan berusia 34 tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga itu berjaya ditahan selepas pergelutan dengan anggota serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tanah Merah pada jam 10.30 malam.

“Salah seorang suspek membawa bungkusan plastik berwarna ungu mengandungi pil kemerahan dan kehijauan bercetak WY dipercayai pil kuda keseluruhannya berjumlah 12,000 biji dengan anggaran berat 1.2 kilogram (kg).

Dadah dalam bungkusan baru berwarna merah jambu bertulisan “A” dan dibekalkan bersama syabu percuma.
Dadah dalam bungkusan baru berwarna merah jambu bertulisan “A” dan dibekalkan bersama syabu percuma.

“Turut dijumpai 60 paket cerah berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu seberat 60g dengan keseluruhan nilai dadah berjumlah RM189,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepaket plastik biru atau merah jambu yang berisi 200 pil kuda yang dijual itu dikepilkan bersama 1g syabu yang diberikan secara percuma kepada pengedar-pengedar kecil sekitar negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Setiap biji pil kuda bernilai RM15 dan suspek mengadakan promosi iaitu dengan membeli sepaket atau 200 biji pil kuda berharga RM3,000, pembeli akan memperoleh 1g syabu yang bernilai antara RM150 hingga RM200.

“Siasatan awal kami turut mencurigai plastik berwarna merah jambu tertera huruf “A” yang menjadi bungkusan sejumlah 200 pil kuda terbabit berikutan sebelum ini hanya dibungkus dengan plastik berwarna biru,” katanya.

Sehubungan itu, suspek direman seminggu bermula kelmarin hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.