'PN sudah pecahkan dominasi BN di Kota Tinggi'

Muhyiddin (depan, tengah) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (depan, dua dari kiri) serta barisan kepimpinan tertinggi parti komponen PN mengibarkan bendera jentera PN pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Johor Kota Tinggi pada 19 Februari lalu. - Foto Bernama (Gambar kecil: Rasman Ithnain)
Muhyiddin (depan, tengah) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (depan, dua dari kiri) serta barisan kepimpinan tertinggi parti komponen PN mengibarkan bendera jentera PN pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Johor Kota Tinggi pada 19 Februari lalu. - Foto Bernama (Gambar kecil: Rasman Ithnain)
A
A
A

KOTA TINGGI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi mendakwa Perikatan Nasional (PN) telah berjaya memecahkan dominasi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Ketuanya, Rasman Ithnain yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, terdapat tanda positif yang ditunjukkan oleh pengundi- pengundi di Kota Tinggi dalam sokongan mereka terhadap PN.

Menurutnya, sebagai parti yang baharu dibentuk, momentum sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

"Soal kemenangan, itu kita tidak dapat nafikan. Itu adalah kekuatan BN. Tapi kesimpulannya, kita dapat memecahkan tembok (dominasi) itu pun pada saya satu yang positif.

"Insya-ALLAH telah ada tanda-tanda untuk PN menguasai di Kota Tinggi," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan PN Zon Timur di sini.

Mengulas lanjut, Rasman berkata, tanda peralihan sokongan itu dapat dilihat daripada generasi baharu yang tinggal di kawasan Felda dan kampung tradisional.

"Macam generasi peneroka, dia tidak ada masalah dengan pendapatan dan tempat tinggal. Dia dah boleh bertahan hidup.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi generasi kedua dan ketiga berhadapan dengan isu tidak ada tempat tinggal, pekerjaan dan perniagaan yang masih tidak meluas. Mereka berhadapan dengan 'survive' hidup macam mana generasi lain yang ada di bandar, " ujarnya.

Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) berada di bawah Parlimen Kota Tinggi ialah DUN Sedili dan DUN Johor Lama.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, DUN Sedili dan DUN Johor Lama masing-masing dimenangi oleh Rasman dan Rosleli Jahari yang menggunakan tiket BN.

Kedua-dua ADUN tersebut bagaimanapun mengambil tindakan menyertai Bersatu beberapa hari selepas BN tumbang dalam PRU tersebut.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my