Jerebu: Shah Alam catat bacaan IPU tidak sihat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Shah Alam merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 107 sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS), stesen Shah Alam merekodkan peningkatan dari IPU 99 pada 9 pagi, IPU 103 pada 10 pagi dan seterusnya IPU 107 pada 11 pagi dan kekal sama sehingga 12 tengah hari.

Sementara itu, berdasarkan peta taburan IPU di laman sesawang tersebut, sebanyak 66 stesen JAS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana dan hanya tiga stesen mencatatkan bacaan baik iaitu di Sandakan dan Tawau, Sabah dengan bacaan IPU 27 dan 38 manakala Kota Tinggi, Johor mencatatkan IPU 43.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Dalam pada itu, IPU di kawasan Rompin dan Balok Baru Kuantan di Pahang yang dilaporkan tidak sihat semalam mencatatkan tahap sederhana iaitu IPU 52 dan 61 masing-masing.

Di Melaka, Bukit Rambai mencatatkan bacaan IPU 78 manakala Alor Gajah IPU 80 iaitu tahap sederhana berbanding bacaan tidak sihat semalam.- Bernama

Artikel Berkaitan: