Polis kesan wanita cuba seludup dadah di hospital

No Image Caption
A
A
A

TELUK INTAN - Polis sedang mengesan seorang wanita yang bertindak menghantar bekalan dadah kepada rakan lelakinya yang sedang menerima rawatan akibat patah tulang belakang di Hospital Teluk Intan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dadah jenis heroin seberat 2.25 gram itu ditemui disembunyikan di dalam tisu basah bersama bungkusan biskut.

Menurutnya, kiriman bungkusan makanan itu diterima seorang pengawal keselamatan sekitar jam 4.05 petang untuk diserahkan kepada suspek.

"Bungkusan itu diterima daripada wanita dikenali sebagai Ika untuk diserahkan kepada lelaki yang dirawat di wad sejak dua minggu lalu akibat kecederaan yang dialaminya kerana jatuh.

"Jururawat yang menerima bungkusan itu bertindak memeriksa dan menemui dua peket dadah bernilai RM600 dan pemetik api. Barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Dua peket plastik berisi heroin dan pemetik api dirampas dalam bungkusan makananan untuk diberikan kepada seorang pesakit di Hospital Teluk Intan. Foto: Ihsan pembaca
Dua peket plastik berisi heroin dan pemetik api dirampas dalam bungkusan makananan untuk diberikan kepada seorang pesakit di Hospital Teluk Intan. Foto: Ihsan pembaca

Ahmad Adnan berkata, siasatan awal mendapati pesakit berusia 34 tahun itu yang juga penagih telah menghubungi wanita terbabit dan memintanya untuk menghantar dadah berkenaan.

"Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit itu meminta Ika menghantar barang terlarang itu ke hospital untuk kegunaannya sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah rampas telefon bimbit suspek untuk siasatan lanjut dan sedang mengesan Ika yang tinggal di Chui Chak di sini. Pemeriksaan lanjut di rumahnya mendapati tiada penghuni dan kita percaya dia telah melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pesakit tersebut akan ditangkap sebaik sahaja selesai menerima rawatan nanti.

"Pihak hospital juga diminta memaklumkan segera kepada polis sekiranya pesakit itu sudah pulih untuk tindakan selanjutnya," katanya.