Mintah sandaran TFC II gempur UiTM FC

Jordan Mintah
Jordan Mintah
A
A
A

PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah menjadi sandaran Terengganu FC ll (TFC ll) bagi merobek gawang UiTM FC dalam aksi pertama saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu.

Dengan ketiadaan beberapa pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan perlawanan, harapan turut disandarkan ke bahu pertahanan import TFC ll, Argzim Redzovic yang kekal memakai lilitan kapten sejak musim lalu.

Pengendali TFC ll, Badrul Afzan Razali mengakui persiapan pasukannya agak terjejas apabila pemain import, Luke Woodland yang baharu menyertai skuad The Turtles musim ini tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan lutut.

"Woodland perlu ambil masa agak lama, sekurang-kurangnya enam minggu untuk sembuh daripada kecederaan.

"Mohammad Ridzuan Mohd Razali dan Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri juga tidak dapat diturunkan kerana masing-masing sedang menjalani hukuman selepas terlibat insiden pergaduhan ketika perlawanan persahabatan menentang Penang FC bulan lepas," katanya.

Bagaimanapun, Badrul Afzan berkata, beliau sudah mempunyai calon pemain tempatan yang sesuai daripada pasukan 'abang' iaitu Terengganu FC (TFC) bagi mengisi kekosongan di posisi berkenaan.

Justeru, beliau mahu semua pemain tenang dan memberi tumpuan kepada pertemuan sulung yang bakal menentukan momentum pasukan untuk aksi seterusnya.

"Sasaran kami ialah untuk membaiki kedudukan dari tangga ketiga Liga Premier musim lepas kepada lebih baik tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kemenangan awal penting untuk naikkan semangat pemain bagi memburu kejayaan dalam setiap perlawanan," ujarnya. - Bernama