Laksana segera Kad Warga Asing elak manipulasi kumpulan ekstremis

Musa (dua dari kiri) bercakap pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara pada Jumaat
Musa (dua dari kiri) bercakap pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara pada Jumaat
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengeluaran Kad Warga Asing perlu disegerakan bagi mengelakkan golongan tidak berdokumen dimanipulasikan oleh kumpulan ekstremis yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pelaksanaan ini bagi memastikan mereka ini tidak terlibat dengan mana-mana pihak yang boleh membahayakan negara.

Menurutnya, ia juga mampu membantu golongan tidak berdokumen menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Sekiranya mereka tidak dibantu akan menimbulkan unsur kebencian seterusnya menyebabkan golongan tersebut menjadi musuh dalam masyarakat.

"Mereka ini boleh dimanipulasikan kerana kita tak bantu mereka, mereka akan benci kita, jadi musuh kita. Kerana itu mereka ini perlu didokumenkan termasuk orang-orang asal agar kita dapat kenal pasti mereka dan memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Kita tidak mahu kumpulan ekstremis memanipulasikan golongan tidak berdokumen ini untuk bantu mereka ancam keselamatan kita," katanya ketika sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini pada Jumaat.

Musa yang juga Penasihat MHO menegaskan, pemberian kad identiti kepada golongan tidak berdokumen termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan bermaksud memberi kewarganegaraan kepada golongan tersebut.

Sebaliknya, menurutnya, pemberian kewarganegaraan adalah tertakluk kepada syarat jelas yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Mesti penuhi syarat. Kalau mereka layak, maka perlu bagi kewarganegaraan. Jika tidak layak, maka tidak perlu.

"Tapi identiti perlu diberikan atas faktor keselamatan dan kemanusiaan. Bukan bermakna dapat pengenalan dia jadi warganegara. Itu mahu main politik. Jangan jadikan ini isu politik," katanya.

Sebelum ini kerajaan Sabah dilapor masih belum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau tidak cadangan untuk mengeluarkan Kad Warga Asing seperti dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, MHO mengambil pendirian menyokong pengeluaran Kad Warga Asing, namun berharap ia turut membolehkan mereka bekerja di Semenanjung Malaysia.

Katanya, kumpulan yang diberikan identiti menerusi kad berkenaan boleh dijadikan alternatif bagi mengisi kekosongan keperluan 200,000 pekerja warga asing ketika ini.

"Kebenaran ini sekali gus tidak menjadikan golongan ini pesaing kepada masyarakat tempatan di Sabah kerana antara cabaran untuk mendokumentasikan kumpulan migran yang berada di Sabah adalah kekangan ekonomi kerana terdapat segelintir masyarakat tempatan merasakan kumpulan ini pesaing mereka.

"Jika memberi pekerjaan kepada golongan ini juga mengelakkan pengaliran wang tunai ke luar negara kerana jika golongan ini gunakan gaji mereka sepenuhnya dalam negara, secara tidak langsung menjadikan ekonomi kita lebih mampan," katanya.