Akta Hasutan 1948 masih boleh digunakan polis: Muhyiddin

Menteri Dalam Negari Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan anggota selepas pemakaian pangkat sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Malaysia hari ini. Foto: Bernama
Menteri Dalam Negari Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan anggota selepas pemakaian pangkat sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Malaysia hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KAJANG - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan siasatan kerana undang-undang itu belum dimansuhkan.

Bagaimanapun katanya, beliau telah mengarahkan agar penggunaan akta tersebut dibuat secara berhemah dan hanya jika kes mempunyai bukti asas yang kukuh.

Dari segi undang-undang, akta ini masih boleh digunakan sehinggalah ia dibawa ke Parlimen bagi tujuan pemansuhan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Penjara ke-229 yang bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’ di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata polis diarah untuk tidak menggunakan akta itu bagi menahan mana-mana individu di negara ini selari dengan pendirian kerajaan untuk mengkaji keperluan bagi meminda atau memansuhkan akta berkenaan dalam tempoh terdekat.

Mengulas mengenai kajian terhadap akta itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedang mengenal pasti keperluan sama ada akta tersebut masih relevan atau perlu dipinda.

“Kajian sudah di peringkat akhir dan ada beberapa perkara yang dikenal pasti tidak perlu diguna pakai dalam akta ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata kerajaan bercadang menaikkan Bayaran Insentif Khas untuk anggota penjara kepada RM200, menyamai pasukan beruniform lain.

“Kita akan cuba laksanakan dan berharap Kementerian Kewangan akan beri kelulusan kerana jumlah tidak berapa besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalannya Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar. - Bernama