37 murid sekolah rendah tawan Bukit Engku Busu

Murid SKBTM berjaya menawan puncak Bukit Engku Busu.
Murid SKBTM berjaya menawan puncak Bukit Engku Busu.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara (SKBTM), Simpang Ampat sekali lagi mengukir sejarah tersendiri apabila 37 muridnya dan enam guru berjaya menawan puncak Bukit Engku Busu di Lumut baru-baru ini.

Lebih membanggakan tiga daripada 37 murid yang terlibat merupakan murid pendidikan khas manakala dua murid tahun dua menjadi pendaki termuda berjaya sampai ke puncak bukit.

Program pendakian itu merupakan salah satu aktiviti dalam Kursus Kepimpinan Eksekutif Muda SKBTM yang diadakan selama tiga hari di Alam Rindu Motel Kampung Bharu,Air Tawar Perak.

Guru Besar SKBTM, Fadzilah Hasan berkata, kesemua peserta yang mengikuti pendakian ini terdiri daripada pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber, pengawas SPBT dan pemimpin badan beruniform.

Turut terpilih mengikuti program ini ialah ketua kelas dan murid yang menunjukkan disiplin dan adab terbaik.

Menurutnya, kursus kepimpinan eksekutif dan eksplorasi pendakian ini dibantu sepenuhnya oleh jurulatih rekreasi daerah Manjung dan sukarelawan Majlis Belia Daerah Manjung.

"Memandangkan SKBTM meletakkan konsep kemenjadian, keberhasilan dan kelestarian murid sebagai agenda utama, maka kejayaan yang dicapai pada 16 Mac lalu dijadikan pendorong semangat pada murid lain.

Artikel Berkaitan:

Laluan pendakian yang mencabar menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki.
Laluan pendakian yang mencabar menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki.

"Kesemua mereka yang mengikuti program ini perlu menempuh laluan pendakian yang mencabar dan menguji ketahanan fizikal serta mental sekali gus memupuk semangat kerjasama di kalangan murid," katanya ketika ditemui, semalam.

Bagi Jurulatih Rekreasi GPMS, Muhathir Mukhtar berkata, pihaknya amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan peserta.

"Mereka berjaya mengawal diri supaya lebih bersabar dan tenang dalam semua keadaan. Bayangkan murid sekolah rendah dan pendidikan khas mampu bersatu dan bekerjasama membantu rakan mereka sehingga ke puncak.

"Saya selaku jurulatih rekreasi daerah,mengakui bahawa trek pendakian Engku Busu yang peserta daki sememangnya amat mencabar," katanya.

Kesemua peserta terpaksa mendaki menggunakan tali, menyusup di bawah pokok yang tumbang, memanjat batu besar dan pelbagai cabaran lagi.

Katanya, dengan kejayaan menawan puncak tertinggi di daerah Manjung ini, layaklah SKBTM menerima pujian dan pengiktirafan.