Lombong bitcoin: Peniaga tak mengaku salah rasuah pegawai TNB

Ai Sing (berbaju merah) dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai TNB.
Ai Sing (berbaju merah) dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai TNB.
A
A
A

IPOH - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan memberi rasuah RM126,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan aktiviti perlombongan bitcoin, bulan lalu.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 50, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Ai Sing didakwa memberikan suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM126,500 kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang untuk aktiviti melombong bitcoin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato' Lau Pak Kuan di sini, kira-kira jam 10.53 pagi pada Isnin lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu didakwa memberi suapan iaitu wang tunai kepada individu sama.

Ai Sing didakwa memberi wang itu pada waktu, tarikh dan lokasi sama sebagai dorongan untuk mengelakkan suatu tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan ke atas pengusaha bagi aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara paling lama yang diperuntukkan bagi kesalahan itu atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziyah Mansor yang menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin berikutan kes berkenaan membabitkan sitaan berjumlah RM1.494 juta.

Peguam, Akmal Jusoh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan berikutan akaun keluarga tertuduh telah disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin warganegara dan memerintahkan pasport diserahkan serta-merta sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarah untuk melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula pada 25 April ini.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan enam lelaki berusia 29 hingga 67 tahun direman bagi membantu siasatan kes pemberian rasuah secara bulanan berjumlah RM153,500 kepada pegawai TNB.

Sebelum itu, SPRM Perak pada Isnin melancarkan Ops Power yang membawa kepada penangkapan enam suspek di beberapa lokasi di sekitar Perak.

Difahamkan kesemua suspek disyaki memberi wang rasuah secara bulanan antara RM500 hingga RM15,000 kepada Pegawai TNB Zon Utara dan Zon Selatan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti mencuri elektrik bagi menjalankan perlombongan bitcoin dan operasi kilang kayu.