Penolong pegawai PPK mengaku tidak salah buat tuntutan palsu

Mohd Zamadi (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas dua pertuduhan utama dan pilihan berhubung tuntutan palsu sebanyak RM17,000, empat tahun lalu.
Mohd Zamadi (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas dua pertuduhan utama dan pilihan berhubung tuntutan palsu sebanyak RM17,000, empat tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi di sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan utama dan pilihan berhubung tuntutan palsu sebanyak RM17,000, empat tahun lalu.

Mohd Zamadi Mohd Zain, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen di sebuah PPK, berniat memperdayakan pegawai atasannya, telah menggunakan invois sebuah syarikat berjumlah RM17,000.

Ia yang mana tertuduh mempunyai kepentingan mengenainya dan ada sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di PPK Klang pada 15 Januari 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois sebuah syarikat berjumlah RM17,000 kepada pegawai sama yang mana ia adalah suatu dokumen palsu pada tarikh dan lokasi sama.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Jumlah itu adalah munasabah memandangkan pertuduhan yang dikenakan adalah serius, selain memastikan tertuduh hadir di perbicaraan akan datang," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Samry Masri yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

"Anak guam saya sudah berkhidmat di PPK selama 18 tahun dan perlu menyara isteri serta tiga anak yang masih bersekolah.

"Dia juga merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik, menyara ibunya yang juga seorang ibu tunggal berusia 65 tahun," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 April depan untuk serahan dokumen.

Pada 13 Oktober 2021, Sinar Harian melaporkan, seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.