Calon 18 tahun, realiti atau retorik politik

No Image Caption
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan satu lagi sejarah. Hasil daripada satu gerakan untuk menghargai suara anak muda, seramai 750,000 pengundi baharu dimasukkan dalam senarai pengundi dalam PRN Johor.

Jangan terkejut ia adalah 30 peratus daripada keseluruhan hampir 2.6 juta jumlah pengundi di negeri selatan Semenanjung Malaysia itu.

Ia terdiri daripada pengundi muda iaitu Undi18 (menurunkan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun) dan juga pengundi baharu yang kini didaftarkan secara automatik.

Banyak parti yang berdebar melihat bagaimana corak kelompok muda ini membuang undi. Daripada pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan parti di Johor baru-baru ini, ramai yang masih sukar meramalkan pilihan anak muda ini.

Adakah pengundi semuda usia 18 tahun ini akan mengundi mengikut pilihan hati atau atas cadangan ibu bapa?

Maka tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu, seiring dengan gerakan Undi18, beberapa negeri turut merendahkan had usia calon bertanding pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun.

Antara negeri yang telah meminda perlembagaan masing-masing termasuklah Sabah (Disember 2019); Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020); Perak (Julai 2021) dan Pulau Pinang (September 2021).

Johor tidak ketinggalan turut meminda had usia calon pada Januari lalu diikuti Melaka dua hari lepas.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya yang kini ditunggu-tunggu ramai ialah parti manakah yang akan mempunyai keberanian dan akan mencatatkan sejarah menghantar calon pilihan raya semuda usia 18 tahun.

Pada PRN Melaka tahun lalu, PKR mencalonkan Farzana Hayani pelajar Universiti Teknologi Mara berusia 21 tahun di DUN Sungai Rambai.

Di Johor, walaupun pelaksanaan Undi18 telah dimulakan, namun usia calon paling muda pada PRN Johor ialah 26 tahun. Jangan terkejut calon tersebut bukan juga daripada parti Muda sebaliknya daripada parti Pejuang dan BN.

Bagaimanapun, dengan banyak negeri sudah membuat pindaan, mari kita saksikan untuk PRN dan PRU nanti, adakah ia boleh direalisasikan atau sekadar retorik politik.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my