Kerajaan teliti cadangan bil bersama air, pembetungan

Dr Xavier
Dr Xavier
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah termasuk mengusahakan negeri-negeri melaksanakan pengebilan bersama bil air dan pembetungan bagi menangani isu tunggakan bil pembetungan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata sehingga tahun lepas, tunggakan bagi bil pembetungan oleh negeri-negeri melebihi RM900 juta.

“Walaupun kadar kutipan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) kira-kira 94 peratus, syarikat itu masih mengalami kerugian susulan tunggakan berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan persekutuan mengusulkan agar bil air dan pembetungan dimasukkan dalam satu bil dengan rundingan bersama kerajaan negeri masih dijalankan.

“Idea ini tidak begitu diterima jadi mungkin saya akan mulakan dengan negeri-negeri yang lebih terbuka untuk melaksanakannya,” katanya.

Mengambil contoh Labuan, Dr Xavier berkata pulau tersebut melaksanakan pengebilan bersama air dan pembetungan sejak dua tahun lepas dan langkah berkenaan ternyata berhasil menangani isu berbangkit.

Menurutnya pengebilan bersama membolehkan kutipan yang lebih baik selain meningkatkan kecekapan pengurusan perkhidmatan utiliti dan prasarana.

Isi rumah Malaysia perlu membayar RM8 sebulan untuk bil pembetungan manakala mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat pula hanya perlu membayar RM2.

Artikel Berkaitan:

Dr Xavier juga berkata tarif pembetungan perlu mencerminkan kos sebenar perkhidmatan memandangkan kerajaan tidak boleh terus memberikan subsidi kepada IWK kerana langkah tersebut tidak mampan untuk jangka panjang.

Tahun ini kerajaan memperuntukkan RM150 juta sebagai subsidi kepada IWK. - Bernama