Pelancong Malaysia disaran pilih ejen pelancongan berdaftar dengan ASITA

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke Indonesia disaran menggunakan ejen-ejen pelancongan yang berdaftar dengan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Indonesia (ASITA) yang bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia di Indonesia.

Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata ia bagi memudahkan pihak kedutaan Malaysia di Indonesia, dan Tourism Malaysia di Indonesia, berhubung, mengesan, dan menyalurkan sebarang bantuan sekiranya mereka berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diingini.

"ASITA bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia di Indonesia, sekiranya terjadi sesuatu perkara tidak diingini, seperti kemalangan, kecemasan, bencana alam, menerusi ASITA, kami dapat segera mengesan, dan menyalurkan bantuan konsular, dan bantuan lain yang diperlukan," katanya kepada Bernama di sini.

Roslan berkata Indonesia, negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik itu, sentiasa berisiko berlakunya kejadian bencana alam seperti gempa bumi dan letupan gunung berapi, dan pelancong Malaysia perlu lebih proaktif dalam menjaga keselamatan mereka.

"Selain memilih ejen-ejen pelancongan yang berdaftar dengan ASITA, mereka boleh bertanyakan dengan ejen-ejen di Malaysia yang berurusan dengan ejen-ejen di Indonesia sama ada berdaftar atau tidak dengan ASITA. Rakyat Malaysia juga disarankan mendaftar dengan pihak kedutaan Malaysia apabila mahu berkunjung ke Indonesia," katanya.

Mengulas bencana gempa bumi di Lombok, Indonesia yang turut mengorbankan dua rakyat Malaysia pada Ahad lepas, beliau berkata pihaknya bersama ASITA turut memainkan peranan dalam menguruskan kebajikan rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu seperti menguruskan penginapan dan penjadualan semula tiket penerbangan pulang ke Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: