Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan perlu laksana rancangan jangka panjang atasi impak banjir

Kerajaan diminta segera melaksanakan rancangan jangka panjang secara lebih menyeluruh dalam mengatasi impak banjir. - Foto Bernama
Kerajaan diminta segera melaksanakan rancangan jangka panjang secara lebih menyeluruh dalam mengatasi impak banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada Khamis senada meminta kerajaan melaksanakan rancangan jangka panjang secara lebih menyeluruh dalam mengatasi impak banjir.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata, kerajaan perlu mencontohi kerajaan Thailand yang menyiapkan projek tebatan banjir di sempadan Sungai Golok, Kelantan bagi mengurangkan kesan banjir yang lebih buruk.

"Malangnya di kawasan kita (Malaysia), kita tidak dapat menyiapkan lagi...oleh kerana itulah baru-baru ini (kita alami) banjir yang begitu melimpah di kawasan penduduk khususnya di kawasan Rantau Panjang dan persekitarannya.

"Justeru, saya amat yakin dengan bajet sebanyak RM4.172 bilion yang diumumkan untuk Kementerian Alam Sekitar dan Air, yang mana RM1.6 bilion peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk pembinaan tebatan banjir khususnya di kawasan berisiko dapat disegerakan,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata, keperluan kerja-kerja menstabilkan tebing sungai, menaik taraf tali air, projek pendalaman dan menyelenggara sungai serta kolam-kolam takungan di kawasan bandar termasuk di sekitar Kuala Lumpur perlu dilaksanakan segera.

Abdul Azeez juga berpendapat Unit Perancang Ekonomi (EPU) boleh mencadangkan kepada kerajaan melaksanakan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) sekiranya dana kerajaan bagi projek tebatan banjir tidak mencukupi.

Senada dengan beliau, Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) berkata, negara memerlukan penyelesaian holistik dalam menghadapi banjir khususnya di Kelantan dan Terengganu, yang berlaku setiap tahun selama beberapa dekad mengakibatkan kerugian harta dan kematian.

"Saya diberitahu penduduk kampung yang dilanda banjir bahawa mereka terpaksa tinggal di kawasan banjir kerana mereka tak mampu membeli rumah di luar kampung mereka.

Artikel Berkaitan:

"Penyelesaian jangka panjang adalah dengan memindahkan seluruh kampung keluar dari kawasan banjir dan menempatkan semula penduduk di kawasan lain,” katanya.

Beliau memberi contoh kes yang pernah berlaku pada tahun 1926 di Selangor iaitu seluruh bandar Kuala Kubu dipindahkan ke tapak Kuala Kubu Bharu sekarang selepas kejadian banjir besar, selain mencadangkan pembinaan kolam takungan di kawasan bandar dan keperluan garis panduan baharu dalam perancangan pembandaran.

Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) pula berkata kerajaan perlu mempercepatkan usaha pendalaman sungai-sungai terutama di Bintulu dan Sibu, Sarawak sebagai langkah bersiap siaga dalam menghadapi banjir di negeri berkenaan.

Turut menyentuh perkara sama dalam perbahasan hari ini adalah RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya).

Persidangan bersambung Isnin. - Bernama