PN pancing undi dengan air percuma seperti di Selangor: Noh Omar

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KOTA TINGGI - Tawaran air percuma yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dilihat hanya cuba mengulangi kempen pernah dilakukan kerajaan Selangor.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, PN dilihat hanya meniru trend yang dibuat itu untuk memancing pengundi.

"Kempen bagi air percuma ni seperti di Selangor, nak pancing undi. Bila sudah dapat, jangan jadi macam Selangor.

"Isu di Selangor dulu, rakyat terpengaruh kerana air percuma. Jadi dia nak ambil trend itu," katanya ketika ditemui, di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, PN membuat tawaran air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah di Johor sekiranya menang dalam pilihan raya negeri itu pada 12 Mac ini.

Pemberian air percuma berkenaan merupakan antara tawaran yang terkandung dalam Ikrar Manifesto PN yang dilancarkan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Noh turut mengkritik janji dilakukan PN untuk menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Johor.

Katanya, rakyat Johor tidak seharusnya terpengaruh dengan tawaran tersebut kerana isu berkenaan tidak pun diselesaikan sebelum ini meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menerajui kerajaan negeri Johor sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak buat, lama dah buat. Jadi MB (Menteri Besar) dua kali, kenapa tak buat? Kenapa sekarang nak buat? Rakyat Johor, jangan terpengaruh," ujarnya.