JSJN Bukit Aman, agensi lain banteras dadah di Felda

Ayob Khan (tengah) dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Khamis.
Ayob Khan (tengah) dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan berkolaboratif dengan agensi lain bagi membendung penyalahgunaan dadah di kawasan penempatan rancangan Felda.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Belia Felda Malaysia dan Jabatan Pembangunan Komuniti Felda bagi menangani isu penagihan dadah.

"Kami akan memfokuskan pendekatan rawatan dan pemulihan, ia juga melibatkan kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Khamis.

Ayob Khan berkata, pihaknya perlu mengenal pasti penagih baharu atau penagih tegar.

"Penagih baharu akan dihantar ke AADK untuk pemulihan, manakala kami akan menahan penagih tegar," katanya.

Beliau berkata, kawasan penempatan rancangan Felda merupakan kawasan yang luas dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi.

“Kempen kesedaran sebegini telah dilakukan sebelum ini, namun kita mahu menambah baik lagi lagi program itu dalam kerjasama bersepadu dengan pelbagai agensi,” katanya.

Menurutnya, perkongsian data antara pelbagai agensi mengenai penagih dadah di kawasan itu adalah penting untuk memastikan program itu berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Peranan ahli keluarga dalam berkongsi maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dalam ahli keluarga mereka kepada kita juga penting," katanya.

Ayob Khan berkata, pihaknya mengesan beberapa 'port' dadah yang sering bertukar lokasi untuk mengelak dikesan daripada pihak berkuasa.

"Kami dapati penagih dadah syabu di kawasan tersebut, bekalan itu diperoleh dari tempat lain," katanya.