Projek tenaga solar: Hakim benar kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar sekolah-sekolah luar bandar Sarawak dibenarkan dipindah ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad memutuskan demikian selepas dimaklumkan pendakwa raya bahawa permohonan mereka di Mahkamah Tinggi supaya kes itu dipindahkan telah dibenarkan.

Dalam prosiding itu pendakwaan selaku pemohon dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar manakala Rosmah sebagai responden diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Terdahulu semasa prosiding, Akberdin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan notis rayuan penangguhan pada Isnin lalu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini yang membenarkan kes itu dipindahkan.

Bagaimanapun keputusan mengenai penangguhan itu akan diputuskan oleh mahkamah tinggi pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Pada Jumaat lalu, dalam permohonan di Mahkamah Tinggi, pendakwa raya antara lain berhubung bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa lebih luas berbanding Mahkamah Sesyen untuk mendengar kes rasuah terbabit.

Pada 15 November lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Pada tarikh sama di mahkamah berasingan, Rizal mengaku tidak bersalah meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes solar Rosmah: Pendakwaan serah semula dokumen