[VIDEO] Separuh dewasa di Malaysia obesiti: Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah obesiti dan berat badan berlebihan di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila separuh atau 50.1 peratus dewasa di negara ini berdepan dengan penyakit berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) baru-baru ini.

Beliau berkata, prevalen obes menunjukkan kadar peningkatan agak tinggi saban tahun berbanding kajian sebelumnya iaitu NHMS 2006 (14.0 peratus) NHMS 2011 (15.1 peratus) dan NHMS 2015 (17.7 peratus).

Jelasnya, NHMS fokus pada pemakanan akan dijalankan pada 2024.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah merangka strategi menyeluruh bagi menangani isu ini seperti digariskan dalam pelan tindakan jangka masa panjang di bawah Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia NPANM III (2016-2025), Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (2016-2025) dan Polisi Menangani Obesiti di Malaysia (2016-2025).

“Selain itu, KKM juga menubuhkan Jawatankuasa Kerja Menangani Masalah Obesiti bagi mencadangkan tindakan yang drastik bersesuaian dengan situasi semasa dalam menangani masalah obesiti di Malaysia.

“Jawatankuasa ini telah membentuk dokumen Policy Option To Combat Obesity in Malaysia yang mengandungi 48 polisi menangani masalah obesiti di Malaysia untuk dilaksanakan dalam masa 10 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang- Sri Gading) yang memintanya menyatakan sejauh manakah tahap kadar kes obesiti dalam negara dan apakah tindakan drastik KKM untuk mengurangkan kadar kes obesiti di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sehingga 2022, sebanyak 10 polisi telah dilaksanakan, antaranya mewajibkan program pengurusan berat badan di kementerian atau jabatan terpilih; pengenaan cukai eksais ke atas minuman manis bergula dan minuman pra-campuran; menguatkuasakan larangan mengiklan makanan dan minuman tinggi kandungan lemak, garam dan gula yang boleh menarik perhatian kanak-kanak serta lain-lain lagi.

Selain itu katanya, KKM akan terus melaksanakan pelbagai polisi melalui pendekatan secara 'hard policy' ke arah usaha mengawal masalah obesiti di Malaysia.

Ujar Ahli Parlimen Rambau itu lagi, salah satunya melalui Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan bertindak sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan dan mengenal pasti polisi serta tindakan susulan bagi menangani NCD, termasuklah isu obesiti yang memerlukan penglibatan aktif pelbagai kementerian dan agensi.

“Langkah-langkah menyeluruh bagi menurunkan masalah ini juga telah diambil dan dimulakan seawal peringkat bayi, kanak-kanak sehingga dewasa melalui aktiviti advokasi pemakanan yang berterusan mengikut tetapan seperti institusi dan sekolah, fasiliti kesihatan dan komuniti, tempat kerja serta industri makanan dan minuman,” katanya.

@sinarharianonline Nampak gayanya kena ‘cut sugar’ lah ya... #fyp#TikTokNews#BuletinTikTok#ViralNewsMalaysia#Obesiti#KKM original sound - Sinar Harian