Warga emas tinggal sehelai sepinggang, rumah 'ditelan' lumpur

Keadaan rumah Endon di Kampung Belukar Bukit yang ditenggelami lumpur ketika banjir besar melanda daerah Hulu Terengganu, Ahad lalu.
Keadaan rumah Endon di Kampung Belukar Bukit yang ditenggelami lumpur ketika banjir besar melanda daerah Hulu Terengganu, Ahad lalu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa banjir di Kampung Belukar Bukit, Ajil di sini hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah 'ditelan' lumpur dalam kejadian banjir di daerah itu, Ahad lalu.

Endon Ismail, 67, berkata, tragedi itu menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah selepas hampir tenggelam sepenuhnya manakala bahagian dalam rumah dipenuhi kayu dan lumpur.

Endon ketika ditemui di kediamannya bagaimanapun meluahkan kesyukuran kerana tragedi menimpanya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang menyalurkan peruntukan segera RM60,000 bagi membina sebuah rumah baharu.

"Saya kini hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Syukur sangat sebab keadaan saya mendapat perhatian kerajaan negeri.

Lumpur setinggi tiga meter memenuhi keseluruhan kawasan rumah Endon di Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu.
Lumpur setinggi tiga meter memenuhi keseluruhan kawasan rumah Endon di Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

"Terima kasih atas segala jasa dan bantuan yang dihulurkan di saat saya diuji dengan bencana ini. Saya bersyukur dan reda dengan ujian ini walaupun telah kehilangan segalanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 membina semula rumah Endon yang musnah sepenuhnya akibat bencana itu.

Katanya, pembinaan rumah baharu itu akan dibuat secepat mungkin sebaik urusan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu selesai.

"Rumah yang akan dibina ini berdasarkan peruntukan di mana ia akan mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur dan ruang tamu.

"Proses pembinaan rumah dijangka bermula sebaik sahaja kelulusannya selesai dalam masa terdekat. Kita akan cuba siapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini," katanya.