Perak intai potensi pelaburan negara EU: Menteri Besar

Saarani menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Wanita Perak,
di Medan Meru Bestari, Bandar Meru Raya, pada Khamis.
Saarani menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Wanita Perak, di Medan Meru Bestari, Bandar Meru Raya, pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri sedang mengintai potensi pelaburan dari negara Kesatuan Eropah (EU) dalam pelbagai bidang untuk dibawa masuk ke Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, taklimat mengenai peluang pelaburan di negeri itu telah dibentangkan beberapa agensi seperti InvestPerak, Tourism Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan sebagainya ketika menerima kunjungan hormat daripada 11 orang duta daripada negara EU, pada Rabu.

Menurutnya, di Perak terdapat beberapa syarikat Eropah yang sudah bertapak di negeri tersebut dan kehadiran delegasi duta dari EU itu mampu menarik lebih ramai pelabur.

"Mereka berjumpa dan membina jambatan persahabatan di antara negeri Perak dengan negara-negara Eropah. Mereka datang kerana ada banyak potensi di Perak.

"Saya dapat maklum balas mereka sangat gembira kerana pendedahan itu perlu untuk mereka membantu membawa masuk banyak pelabur dari kesatuan Eropah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Seronok Ke Sekolah Tahun 2022 Negeri Perak dan Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), di Pejabat Wanita Perak, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Pada Rabu, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas mengetuai lawatan kerja ke Perak yang turut melibatkan 10 duta negara Eropah iaitu Perancis, Belgium, Spain, Ireland, Finland, Jerman, Romania, Austria, Sweden dan Itali.

Dalam perkembangan lain mengenai Program Seronok Ke Sekolah Tahun 2022 Negeri Perak, Saarani berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM465,000 pada tahun ini bagi melaksanakan program berkenaan melibatkan 3,100 penerima seluruh Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini sebanyak 44 daripada 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai melaksanakan program tersebut yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.

"Kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan ini kerana program tersebut benar-benar berkesan membantu golongan yang memerlukan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan.

"Kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengenalpasti penerima yang layak bagi setiap kawasan DUN," katanya.

Sementara itu, Saarani mengalu-alukan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak memerlukan khidmat nasihat mengenai pembangunan wanita, kebajikan masyarakat dan kesejahteraan sosial untuk berhubung dengan Wanita Perak yang kini beroperasi di Medan Meru Bestari, Bandar Meru Raya, di sini.

Menurutnya, sekretariat itu merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan dengan enam teras perkhidmatan iaitu wanita dan keusahawanan, kesihatan, keselamatan, kepimpinan, kerohanian serta masyarakat lestari.