178 projek sakit dikenal pasti tahun ini

Mustapa bercakap pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mustapa bercakap pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengenal pasti terdapat 178 daripada 6,755 projek di bawah perbelanjaan pembangunan yang diluluskan tahun ini dikategorikan sebagai projek sakit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 92 daripada projek sakit tersebut sedang dan telah diambil tindakan intervensi atau 'problem solving' oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Ujarnya, sebanyak 41 projek pula berjaya dipulihkan dan mengikut jadual pelaksanaan projek yang dirancang manakala 51 projek lagi sedang dalam tindakan pemulihan.

“Dalam sistem pemantauan projek oleh ICU, terdapat dua kategori projek yang didefinisikan sebagai projek bermasalah iaitu pertama projek lewat jadual apabila peratus kemajuan sebenar menunjukkan kelewatan sehingga 20 peratus daripada peratus kemajuan jadual.

“Kategori kedua pula, kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi 20 peratus berbanding jadual dirancang,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak projek kerajaan yang terbengkalai setakat tahun 2022 dan projek gajah putih yang terbiar tanpa dibangunkan semula.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, bagi tahun ini iaitu tahun kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan 6,755 projek itu, sebanyak RM75.6 bilion perbelanjaan pembangunan telah diluluskan ketika ini.

Katanya, daripada 6,755 projek tersebut, kira-kira 5,400 projek merupakan projek sambungan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pelaksanaan projek pembangunan penting untuk menjana aktiviti ekonomi negara dan ia perlu dipantau rapi oleh kerajaan.
Artikel Berkaitan:


Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Titah DiRaja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 pada Isnin turut menekankan bahawa projek pembangunan adalah penting.

“Bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar, saya sendiri, bersama dengan Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

“Sejak penubuhan pada Disember 2020, jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak 10 kali dan terakhir adalah pada 31 Januari 2022,” katanya.