Perjuangan tanpa titik noktah dorong Dr Mahathir turun padang

Dr Mahathir berucap pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Kluang di Pitt Station, Ayer Hitam pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Mahathir berucap pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Kluang di Pitt Station, Ayer Hitam pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

TANGKAK - Perjuangan tanpa titik noktah merupakan pembakar semangat Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap turun berkempen bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun dalam tempoh menerima rawatan susulan.

Presiden Pejuang yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Dr Mahathir telah mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum turun berkempen.

Katanya bekas perdana menteri berusia 97 tahun itu juga adalah seorang doktor yang tahu tentang tahap keupayaan kesihatan sendiri.

"Kami sebenarnya sangat berhati-hati sebab faktor usia beliau dan baru pulih dari sakit dan dirawat di IJN, taklah 100 peratus lagi sebenarnya dan dengan masalah Covid-19, orang berusia lebih mudah terkesan kalau terkena Covid-19.

"Bila kami tanya dia (Dr Mahathir) (mengapa) hendak sangat turun Johor, macam mana pun dia kata perjuangannya tiada titik noktah,” katanya selepas sesi ramah mesra bersama penduduk di Pasar Awam Tangkak, pada Khamis.

Menurut Mukhriz, Dr Mahathir menyuarakan hasrat untuk turun padang kerana mahukan pengundi Johor faham hala tuju serta perjuangan Pejuang, dan penyampaiannya tidak hanya melalui nukilan surat dan artikel seperti yang beliau keluarkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu dijadualkan berada di Felda Air Hitam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Khamis bagi menghadiri Program Aspirasi Johor bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas mengenai prestasi kempen Pejuang yang akan bertanding pada 42 kerusi DUN pada PRN Johor setakat ini, Mukhriz berkata, semakin ramai rakyat Johor mahu mendekati Pejuang dan mendapatkan info tentang matlamat serta aspirasi parti itu yang merupakan sebuah parti baharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya pindaan waktu ceramah yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 12 tengah malam juga memberi nilai tambah dan peluang kepada Pejuang untuk bertemu pengundi Johor.

Hari pengundian pada PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac ini. - Bernama