Prasarana Sukma 2026 Kelantan bukan di lokasi risiko banjir

Wan Roslan (tiga, kanan) melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir DUN Pengkalan Kubor di Tumpat, pada Khamis.
Wan Roslan (tiga, kanan) melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir DUN Pengkalan Kubor di Tumpat, pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT – Kerajaan negeri memberi jaminan lokasi-lokasi utama pembinaan prasarana untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Kelantan tidak terlibat dengan kawasan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri telah melakukan kajian terperinci sebelum menetapkan lokasi prasarana tersebut.

“Memang Kelantan sering berdepan banjir apa bila tiba musim tengkujuh, namun lokasi yang dipilih untuk SUKMA bukan berada di kawasan banjir. Kami telah mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri lain yang berpengalaman menganjurkan Sukma dan yakin dengan pemilihan lokasi berkenaan adalah bersesuaian. Insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita, pada Khamis.

Beliau sebelum itu merasmikan Misi Bantuan Banjir DUN Pengkalan Kubor melibatkan konvoi lebih 10 buah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki lima buah kampung terlibat banjir antaranya Bendang Pak Yong dan Simpangan untuk mengagihkan bantuan makanan.

Tambah Wan Roslan, tiada kompleks sukan atau prasarana yang berkaitan dengan SUKMA didirikan di Rantau Panjang memandangkan kawasan berkenaan berisiko banjir.

Katanya, begitu juga di Tumpat yang hanya dibenarkan untuk sukan pelayaran kerana ia sememangnya berkaitan kawasan laut dan pantai, ”katanya.

Mengenai sumbangan makanan dalam program itu, Wan Roslan berkata, ia diberikan kepada 3,000 keluarga yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kata Wan Roslan, mereka yang tidak berpindah adalah penduduk yang telah membuat persediaan awal terutama mereka yang memiliki bot sendiri untuk berulang alik jika berlaku banjir.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya sumbangan ini, mereka boleh guna untuk menampung keperluan semasa walaupun ada bot sendiri untuk keluar cari makanan," katanya.