Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Shamsuddin

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet dan jurulatih olahraga negara, Shamsuddin Jaafar, yang meninggal dunia pada Khamis.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Shamsuddin, dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan olahraga negara.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikian menurut catatan itu.

Shamsuddin, 86, yang lahir pada 15 Mac 1936 di Kuala Kangsar, Perak merupakan bapa kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Allahyarham pernah mewakili negara dan memenangi pingat emas dalam acara olahraga 4X400 meter di kejohanan Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA), pada tahun 1965 di Kuala Lumpur.

Allahyarham juga semasa hayatnya pernah berkhidmat sebagai jurulatih atlet olahraga negara untuk Sukan Asia 1970 di Bangkok, 1974 di Tehran dan 1978 di Bangkok, serta Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Antara atlet di bawah bimbingan Shamsuddin ialah bekas ratu pecut Asia Junaidah Aman dan bekas pelari pecut negara Allahyarham Ramli Ahmad. - Bernama
Artikel Berkaitan: