Remaja lelaki ditemukan lemas di kolam

Mayat mangsa ditemui di dasar kolam. - Foto ihsan Foto JBPM Negeri Sembilan
Mayat mangsa ditemui di dasar kolam. - Foto ihsan Foto JBPM Negeri Sembilan
A
A
A

NILAI - Seorang remaja lelaki ditemukan mati lemas selepas dipercayai terjatuh di sebuah kolam tinggal berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin dekat sini, pada Rabu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saiful Nazri Mohd Nor berkata, mayat Danny Izzahagi Muhammad Azrul,13, dari Taman Desa Pelangi, Mantin ditemui di dasar kolam pada jam 11.30 malam.

"Kami menerima panggilan kecemasan jam 6.52 petang dan tiba di lokasi empat minit kemudian. Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai lima remaja lelaki datang ke lokasi untuk memancing.

"Rakan mangsa memaklumkan sebelum kejadian ini berlaku, mereka telah pergi memancing di kawasan kolam itu sejak Isnin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagaimanapun salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

“Bapa mangsa telah cuba menyelam untuk mencari mangsa di kolam tersebut, namun tidak berhasil.

"Kita menggunakan khidmat anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Port Dickson untuk tujuan tersebut.

"Mayat mangsa kemudiannya ditemui di dasar kolam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: